WAKIL peserta dari SMK Merchang iaitu (dari kanan) guru pengiring, Othman Ariffin, bersama pelajarnya, Khairul Afiq Ahmad Muhid dan Muhammad Faiz Azmi Sharan menerima piala kemenangan daripada Mustafa.
--------------------------------------------------------------------------------
PERTANDINGAN Teknologi Pelancaran Roket 2011 Peringkat Kebangsaan (PTPR2011) anjuran Agensi Angkasa Negara yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang dari Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Program tersebut diadakan dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Universiti Malaya (UM).
Berlangsung di Padang Varsiti, UM, Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket merupakan suatu kaedah terjemahan penggunaan dan penerapan minat dalam bidang sains angkasa kepada para pelajar dan masyarakat secara amnya.
Dalam pertandingan selama tiga hari itu, para peserta dikehendaki mereka dan mencipta model roket air menggunakan botol minuman berkarbonat 1.5 liter. Model roket itu digunakan untuk melakukan beberapa misi pelancaran ke udara.
Bagi melancarkan roket, para peserta hanya dibenarkan untuk menggunakan alatan pelancar serta kombinasi tekanan air dan udara. Pemahaman mengenai konsep dan aplikasi sains adalah penting untuk diadaptasi ketika menghasilkan roket air tersebut.
Pertandingan itu terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Seramai 32 peserta daripada 16 buah pasukan mewakili 13 buah negeri dan tiga wilayah persekutuan telah menyertai pertandingan pada tahun ini.
PARA peserta dikehendaki mereka model roket air menggunakan botol minuman berkarbonat 1.5 liter.
--------------------------------------------------------------------------------
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Dr. Mustafa Din Subari berkata setelah sembilan tahun program tersebut dilaksanakan, ia telah menjadi semakin matang."Ini dapat dilihat dengan daya kreativiti para peserta. Malah, saya juga difahamkan bahawa format pertandingan PTPR2011 kali ini meliputi aspek-aspek teknikal seperti pembentangan projek, ketepatan sasaran, payung terjun dan juga aspek lain yang berkaitan.
"Saya melihat bahawa pendekatan ini adalah amat penting. Selaras dengan Program Penggalakan Sains Dan Matematik 2011 dan Tahun Sains Malaysia 2012 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kami berharap pertandingan ini dapat membantu para pelajar kepada pemikiran lebih kreatif dan inovatif," kata beliau yang menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah.
Ternyata, kejayaan yang diperoleh SMK Merchang tidak sia-sia. Setelah lima tahun mencuba nasib tanpa jemu, akhirnya kemenangan berpihak pada mereka.
Sebagai juara, pasukan sekolah itu menerima Piala Pusingan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, piala dan pingat emas, sijil kecemerlangan, sebuah Teleskop Astroview 100mm EC Refractor dan Kit DIY Galileoscope.
Mereka juga akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Peringkat Asia Pasifik APRSAF-18 Water Rocket Event pada bulan Disember ini di Singapura.
Tempat kedua telah dimenangi oleh SMK Sungai Besar, Selangor. Pasukan ini membawa pulang piala perak dan pingat perak, sijil kecemerlangan, sebuah Teleskop SpaceProbe 130 EQ Refractor dan Kit DIY Galileoscope.
Sementara itu, pasukan SMK Abi dari Perlis menduduki tempat ketiga dan menerima piala dan pingat gangsa, sijil kecemerlangan, sebuah Teleskop Starblast 4.5 EQ Reflector dan Kit DIY Galileoscope.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Roslina Mohd. Roslin dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, UM, Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor.
Sumber : Harian Kosmo 12/10/2010
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0914&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Pertanyaan anda akan dijawab..sila kembali semula ke blog ini