iklan1

Perhatian : Pelancar roket air dan CD powerpoint slide show boleh di tempah sekarang….Sila hubungi saya untuk maklumat harga dan penghantaran - 0137394353/azmi.jaaffar@yahoo.com.my *******Bermula 1/1/2017 harga pelancar adalah RM150 tidak termasuk kos penghantaran, harap maklum .....Tempahan untuk tahun 2017 dibuka sekarang....

Jumaat, 15 September 2023

Mari Bina Roket H2O

 Bagaimanakah cara buat roket h2o yang betul? Artikel ini akan menerangkan cara penghasilan dan pembuatan roket h2o yang anda boleh ikuti.

Anda semua pernah terlibat dengan pembuatan roket h2o? Tidak kiralah di peringkat sekolah, matrikulasi, universiti ataupun di mana sahaja. Kebanyakannya pihak sekolah khususnya guru-guru Sains/Fizik ada menganjurkan pertandingan merekacipta roket h2o. Pertandingan ini biasanya dipertandingkan selepas pelajar belajar matapelajaran Sains/Fizik.

Perkara yang paling dititikberatkan adalah pelajar perlu tahu beberapa prinsip fizik dalam pembuatan roket h2o yang paling sempurna. Kejayaan menghasilkan roket h2o dapat mencetuskan minat pelajar khususnya untuk terus belajar mata pelajaran Sains/Fizik. Hal ini demikian kerana situasi yang berlaku di sekeliling kita berkait rapat dengan ilmu Sains/Fizik. Artikel ini akan mengulas lebih lanjut cara pembuatan roket h2o dan apakah prinsip fizik yang mesti diketahui semasa merekacipta roket h2o.

Teori Roket H2O

Sebelum merekacipta roket h2o, fahamkan dulu bagaimana cara kerja roket sebenar. Umum sedia maklum dalam roket sebenar terdapat 2 bahan bakar utama yang sangat penting iaitu hidrogen dan cecair. Kedua- dua gas bercampur dalam kebuk pembakaran. Seterusnya, hasil pembakaran 2 gas tersebut menghasilkan gas ekzos dan dipaksa keluar dengan halaju yang tinggi menyebabkan penghasilan momentum yang tinggi ke belakang roket.

Pada masa yang sama, momentum yang sama magnitud tetapi berlainan arah iaitu arah depan dapat dihasilkan dan menyebabkan roket meluncur ke hadapan.  Kelajuan roket semakin bertambah kerana beberapa faktor iaitu jisim bahan bakar semakin berkurangan, ketumpatan udara semakin berkurang dan bahagian roket yang kosong ditanggalkan.

Itulah sedikit sebanyak teori penerbangan roket udara. Terdapat beberapa prinsip fizik yang digunakan iaitu Hukum Newton Ketiga dan Prinsip Keabadian Momentum di samping hukum tekanan dan daya.

Bentuk Roket H2O

Bentuk rekaan roket h2o memainkan peranan yang penting dalam memastikan ia meluncur mengenai tepat dengan sasaran yang ditetapkan. Pertama, bahan yang digunakan mestilah daripada botol air plastik kerana ringan dan mudah untuk terbang ke atas.

Seterusnya, bahagian depan roket mestilah runcing atau tajam, untuk mengurangkan rintangan udara. Bahagian sayapnya pula mestilah berbentuk aerofoil yang mengaplikasikan Prinsip Bernoulli sama seperti  konsep sayap kapal terbang, halaju yang tinggi menghasilkan tekanan yang rendah, perbezaan tekanan menghasilkan satu daya angkat ke atas dan membantu roket terbang lebih jauh.

Tambahan itu isipadu air di dalam  botol mestilah satu pertiga daripada isipadu bekas, untuk membolehkan lebih ruang untuk udara termampat. Selain itu, sudut pelancaran yang terbaik ialah sebanyak 45° dalam menghasilkan jarak yang lebih jauh dan jatuh secara projektil.

Bahan-bahan untuk membina Roket H2O

2 biji botol air 1.5L, Pita Pelekat, gam, gunting, pensel, pembaris, pisau, pensel, kotak tebal/mounting board/craftboard/strawboard, plastisin, plastik sampah, beg plastik sampah yg nipis, clear plastic cover

Cara Buat Roket H2O

  1. Bahagikan sebiji botol air kepada satu pertiga bahagian. Ambil bahagian atasnya sahaja. Masukkan plastisin ke dalam bahagian atas botol dijadikan pemberat supaya roket dapat jatuh tegak.
  2. Kemudian, lekatkan menggunakan pita pelekat bahagian muncung tadi dengan botol air pada bahagian bawah pada sebiji botol lagi. Gunakan pita pelekat yang banyak supaya sambungan kedua-dua botol betul-betul kemas.
  3. Seterusnya, tanda 3 atau 4 garisan selari pada hujung bawah botol untuk dilekatkan sayapnya menggunakan marker. Potong bentuk sayap yang dikehendaki dan bahagian tepi sayap dibahagi dua untuk tujuan perlekatan pada botol dan dilekat dalam keadaan tegak dan selari.
  4. Roket siap dipasang dan sedia untuk dilancarkan menggunakan pelancar roket.

Pelancaran roket H2O

Sasaran untuk roket jatuh (landing) handaklah ditetapkan mengikut jarak yang sesuai. Sebenarnya jarak landing bergantung pada tekanan ataupun bergantung pada kekuatan angin pada hari kejadian. Sekarang, lihat bagaimana cara kerja roket h2o.

Letakkan air sebanyak satu pertiga daripada isipadu keseluruhan roket. Seterusnya, menggunakan pam basikal pam ke dalam muncung roket yang disambungkan dengan pelancar roket.pelancar roket kebanyakannya diperbuat dengan sambungan paip PVC dengan kaedah penyambungan yang betul. Setelah di pam, udara akan masuk ke dalam botol yang mengandungi air.

Molekul-molekul gas akan berlanggar dengan molekul-molekul air dan menyebabkan kedua-dua molekul saling berlanggar dengan dinding botol. Tekanan gas boleh ditingkatkan dengan mengurangkan isipasu air dan menambah bilangan zarah-zarah gas (dengan mengepam lebih udara masuk dalam botol). Hukum tekanan mangatakan daya bergantung pada luas permukaan. Tekanan dalam botol bergantung pada luas muncung botol tersebut.

Kemudian, tarik pengunci yang bersambung antara pam dan botol air. Apabila pengunci ditarik, air di dalam botol akan keluar dengan halaju yang tinggi menyebabkan momentum terhasil ke belakang roket. Bertepatan dengan Hukum Newton Ketiga yang melibatkan Prinsip Keabadian Momentum, apabila satu momentum terhasil (momentum ke belakang roket,) maka satu lagi momentum ke hadapan akan terhasil yang dinamakan daya tujahan. Maka roket akan meluncur ke hadapan dan akan jatuh pada sasaran bergantung pada angin pada hari kejadian dan reka bentuk roket juga memainkan peranan yang amat penting.  


SELAMAT MENCUBA....HATI-HATI SEMASA PELANCARAN..