Pelajar teruja pelancaran teknologi roket
Dr. Mustafa Din Subari (dua dari kiri melancarkan roket sebagai gimik pelancaran.
--------------------------------------------------------------------------------
TEKNOLOGI pelancaran roket merupakan sebahagian daripada ilmu sains angkasa yang mempunyai terjemahan cukup luas. Ia merujuk kepada pemahaman aplikasi hukum-hakam alam yang khusus untuk membolehkan roket meneroka ruang angkasa dengan stabil.
Membuka peluang mendedahkan golongan muda memahami ilmu tersebut, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bersama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran serta Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket (PTPR) Peringkat Kebangsan 2010 bermula 26 hingga 28 September lalu.
Memasuki tahun kelapan penganjuran, PTPR merupakan salah satu aktiviti merentas kokurikulum dengan penyertaannya dibuka kepada semua pelajar sekolah seluruh negara berusia antara 12 hingga 16 tahun.
Ia bermula sebagai projek perintis pada tahun 2003 di mana pertandingan tersebut ketika itu melibatkan sekolah-sekolah dari seluruh Kuala Lumpur dan Selangor sahaja.
Hanya pada tahun 2004, ia dibuka kepada penyertaan sekolah-sekolah di seluruh negara dengan sekolah yang bergelar juara akan mewakili Malaysia ke pertandingan yang sama di peringkat rantau Asia Pasifik.
Menurut Ketua Pengarah ANGKASA, Dr. Mustafa Din Subari, pertandingan tersebut dilihat mampu membina modal insan terbaik sebagai penyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.
‘‘Ini kerana melalui pertandingan ini, para pelajar diberi pendedahan dan pemahaman mengenai bidang sains angkasa secara praktikal selain memupuk semangat berpasukan serta bersaing secara sihat.
‘‘Selaras dengan objektifnya untuk membudayakan pendekatan kreatif dan inovatif di kalangan pelajar, pertandingan ini juga mempunyai matlamat menggalakkan mereka melakukan kaedah kajian dan penyelidikan (R&D) dalam setiap pelaksanaan projek.
‘‘Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan segala teori dan konsep yang dipelajari di dalam kelas,’’ katanya ketika berucap pada perasmian penutup PTPR di UM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam usaha menjadikan bidang sains angkasa sebagai sesuatu yang menyeronokkan di samping menguji kemahiran peserta, setiap tahun, pertandingan tersebut cuba mengetengahkan cabaran yang berbeza.
Selain dua kategori yang dipertandingkan sebelum ini iaitu roket sasaran dan payung terjun, turut diperkenalkan kategori terbuka bagi memberi peluang kepada setiap pasukan mencipta roket dengan rekaan dan kreativiti sendiri tanpa melibatkan sebarang syarat.
Hari pertama pertandingan menyaksikan para peserta di beri masa selama enam jam untuk menyiapkan roket dan payung terjun menggunakan material yang disediakan.
Roket-roket itu kemudiannya akan disimpan tanpa membenarkan pelajar membuat sebarang modifikasi sehingga ia dilancarkan pada hari kedua dan ketiga.
Bagi kategori roket sasaran, para pelajar dikehendaki mencipta roket air mengunakan botol minuman berkarbonat 1.5 liter dengan mengaplikasikan teknik tekanan udara.
Melalui ciptaan itu, kreativiti para pelajar diperlukan untuk meminimumkan daya geseran agar roket dapat dilancarkan dengan sempurna ke ke sasaran paling jauh menggunakan alat pelancar.
Untuk kategori payung terjun pula, setiap pasukan perlu mencipta payung terjun dengan menggunakan kombinasi bahan seperti botol dan juga plastik.
Sebanyak 16 pasukan bertanding bagi kategori roket sasaran, 16 pasukan menyertai kategori payung terjun dan 10 pasukan kategori terbuka bagi merebut Piala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Setiap pasukan akan diwakili oleh dua orang pelajar dan seorang guru pengiring daripada sekolah-sekolah di 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan.
Pasukan yang menang bakal diterbangkan ke Melbourne, Australia pada 19 hingga 22 November depan untuk menyertai Pertandingan Roket Air di peringkat Asia Pasifik anjuran Asia Pasific Regional Space Agency Forum (ARPSAF).
‘‘Kita mengharapkan agar pasukan yang menang akan terus membuat persiapan dari segi kemahiran, pemahaman, aplikasi teori matematik dan sains serta semangat daya saing yang tinggi demi memastikan Malaysia menjadi juara,’’ jelasnya.
Jumaat, 12 November 2010
KEPUTUSAN PERTANDINGAN PTPR UNIVERSITI MALAYA 2010
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Pertanyaan anda akan dijawab..sila kembali semula ke blog ini